Pada malam itu jam tepat menunjukkan pukul 12.00 malam, namun mata ini berat untuk melabuhkan kelopaknya seolah-olah ada sebutir batu besar yang menghempapnya. Aku gelisah, seolah-olah ada perkara yang tidak baik berlaku.

Tut..tut..tiba-tiba aku menerima panggilan daripada seorang sahabat seperjuangan.

“Akhi..mursyid..mursyid..akhi berada dimana sekarang? kita akan berjumpa dengan mursyid sekarang” arah suara yang keluar daripada telefon tersebut.

“Baiklah” jawabku ringkas.

“Mursyid? Apa yang terjadi kepada sang mursyid” persoalan demi persolan yang timbul dalam benak otakku

Aku bergegas pergi ketempat yang biasa kami bertemu dan berusrah bersama sang mursyid, disinilah kami ditarbiyah sebagai rijal yang telah berbaiah untuk menegakkan agama Allah, satu tempat dialam mistik dan penuh dengan rahsia.

Sesampainya aku ditempat tersebut,aku dapati beberapa orang rijal telah lama menunggu aku.

Setelah kami bersalaman dan berpelukan, seorang rijal telah memberitahuku bahawa sang mursyid Syed Qutb telah ditangkap dan akan dijatuhkan hukuman gantung esok pagi bersama beberapa orang lagi sahabat seperjuangannya Muhammad Yusof Hawwash dan Abdul Fatah Ismail, merekalah yang telah mentarbiyah kami selama ini.

“Mereka ditangkap oleh Regim Jamal Abdul Nasir yang sememangnya amat takut dengan pemikiran- pemikiran tajam sang mursyid Syed Qutb yang menghancur-leburkan Ideologi Sesat Barat dan Komunisme Timur, serta kemampuan mursyid mengemukakan 'gagasan Islam' dengan jelas dan mantap ke dalam ummah.”

“Sehinggakan golongan ini mengambil jalan kejam dengan menangkap mursyid, namun itulah lumrah perjuangan. Nilai syurga begitu bernilai, manakan mungkin dapat dibeli dengan kehidupan tanpa ujian dan cabaran.” monolog aku sendirian, aku berdoa agar Allah memelihara sang mursyid.

“Kita dan beberapa ikhwan lain akan pergi bersama ana untuk berjumpa dengan mursyid pada malam ini di penjara” terang Ismael, senior dikalangan rijal yang hadir pada malam itu.

Perjalanan kami penuh dengan bengkang-bengkok pengalaman yang tidak terduga. Rijal yang bersama kami tenang sahaja. Mulut mereka tidak putus-putus memuji dan membesarkan Allah sepanjang perjalanan. Sekali-sekala mereka beristighfar memohon ampunan kepada Allah sambil memohon keselamatan sepanjang perjalanan kami pada malam yang penuh misteri itu.

Kami tiba di satu tempat yang agak jauh. Suasana malam kian dirasai. Rupa-rupanya kami telah tiba di sebuah bilik yang hanya mempunyai sebuah lampu yang agak samar-samar.

“Kamu diberi masa setengah jam!” tegas seorang yang berbadan tegas sambil tangannya memegang cemeti , aku tidak nampak dengan jelas siapa yang berkata-kata.

Tiba-tiba disebalik samar-samar kelihatan seorang yang bertubuh agak tegap sedang menunaikan solat dan kemudiannya berzikir dengan penuh sendu. Saya terpukau menyaksikan kekhusyukannya. Lelaki itu menangis dan menangis tanpa henti, sambil bermunajat kepada Allah.

“Sang Mursyid..” aku bersuara.

“Anak muda, tunaikan solat dua rakaat. Kemudian, baru kita berbicara,” tiba-tiba sahaja mursyid bersuara. Secara spontan, aku macam menurut saja tanpa banyak soal. Setelah menunaikan solat dua rakaat, kami bersalaman dan berpelukan dengan mursyid.

“Mursyid, kami mendapat berita yang mursyid akan dijatuhkan hukuman gantung pagi esok?” soal seorang rijal yang bersama kami.

“Ya. Jika itu yang telah Allah tuliskan di luh mahfuz” jawab mursyid dengan tenang sekali. Wajahnya tersenyum.

“Inilah ujian yang menjadi sunnah kepada perjuangan kita, ia perlu dihadapi oleh semua rijal dakwah, dan yang paling penting persiapan kita untuk menghadapi nya” nasihat mursyid. Aku merasai ketenangannya.

“Anakku, kami berhari-hari meneliti masalah ummah dan mencari puncanya. Setelah kami mengetahui puncanya, kami telah menangis sunguh-sungguh. Umat Islam memerlukan mereka yang ikhlas dan sanggup bermati-matian untuk meneruskan perjuangan ini, tidak cukup dengan retorik semata-mata”

”Anakku, ingatlah sesuatu gagasan akan berjaya apabila wujud keyakinan yang kuat dengan gagasan yang didokong, keikhlasan dalam mendokongnya, semangat yang sentiasa membara bersamanya dan yang paling penting sedia berkorban dan bersedia untuk merealisasikannya” nasihat mursyid lagi.

Banyak perkara yang kami bincangkan dalam tempoh yang amat singkat itu. Tidak perlulah aku ceritakan kesemuanya melainkan sedikit sebagai mengambil sedikit tauladan buat semua.

Kami tekun mendengarnya, hati ini berat untuk berpisah dengan mursyid tapi apakan daya takdir yang telah menentukan segalanya.

“Masa dah habis, kamu boleh keluar sekarang !!” tengking lelaki yang memegang cemeti tadi. Kami terpaksa akur dengan semua ini.

“Mursyid, berikanku pesan terakhir. Sesungguhnya aku mahu meninggalkan pertemuan pada malam ini dengan satu pesan yang membekas. Agar dengan itu juga, pesan mursyid akan dijadikan pelita yang menyuluhi hidupku” kataku penuh mengharap.

“Anakku, sentiasalah sedar bahawa kamu sebenarnya adalah suatu roh baru yang mengalir di hati umat ini dan dihidupkan dengan al Quran. Kamu adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika kamu merasai bahawa kalian adalah penanggung beban Kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya. Jadi bersedialah untuk semua itu"

Diakhir pertemuan itu,mursyid memberikan aku sekeping kertas yang tertulis:

Saudara!
Seandainya kau tangisi kematianku
Dan kau siram pusaraku dengan airmatamu
Maka di atas tulang-tulangku
Yang hancur luluh
Nyalakanlah obor buat ummat ini
Dan ……
Teruskan perjalanan ke gerbang jaya

Saudara!
Kematianku adalah satu perjalanan
Mendapatkan kekasih yang sedang merindu
Taman-taman di syorga Tuhanku bangga menerimaku
Burung-burung-Nya berkicau riang menyambutku
Bahagialah hidupku di alam abadi

Saudara!
Puaka kegelapan pasti akan hancur
Dan alam ini akan disinari fajar lagi
Biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
Janganlah gentar berkelanan di alam abadi
Nun di sana fajar sedang memancar


Setelah membaca isi kertas tersebut, tanpa aku sedari setitis demi setitis air mata ini mengalir membasahi pipiku.

Aku berdoa agar dapat bertemu lagi mursyid di syurga kelak.