Semua insan mengimpikan untuk berkahwin dan mempunyai sebuah keluarga sendiri,ada anak,isteri,dan kalau perempuan pula mahukan suami,alangkah indahnya semua itu.Ini merupakan sesuatu yang normal,inginkan cinta dan dicintai secara halal.

Namun ada apa dengan perkahwinan?


Ramai bercakap mengenai perkahwinan,dan saya sekali lagi entah kenapa terasa ingin menulis mengenai perkahwinan sedangkan bagi saya perkahwinan bukanlah priority semasa bagi saya buat masa yang terdekat ini.Kata orang tunggu masa yang sesuai.


Sebenarnya perkahwinan mempunyai tujuan yang besar iaitu untuk melahirkan generasi yang mempunyai fikrah.Melahirkan generasi yang mempunyai fikrah / pemikiran adalah kewajipan.

Pemikiran yang dimaksudkan ialah fikrah perjuangan islam yang sepatutnya dimiliki oleh setiap ibu bapa muslim. Bagi saya pemahaman fikrah perjuangan Islam bukanlah hanya dimiliki oleh individu tertentu atau ahli gerakan sahaja.


Namun ia adalah milik semua individu yang mengaku muslim, terutama ibu bapa. Adalah satu kesilapan apabila menganggap fikrah perjuangan islam hanyalah sekadar tajuk yang dibincangkan didalam usrah mahupun didalam program semata-mata tanpa ada praktikalnya.

Pernahkah kita bayangkan betapa besar kesan kebaikan yang akan kita perolehi apabila fikrah perjuangan islam berjaya diterapkan dengan jayanya didalam setiap keluarga yang dibina.

Namun ia mungkin satu impian yang mempunyai jangka masa yang sangat panjang bagi merealisasikannya.  

Sekiranya fikrah perjuangan islam berjaya diterap, maka kita akan menyaksikan lahirnya muslim yang memahami kefardhuan dakwah,menyertai gerakan dakwah yang mempunyai ciri-ciri yang sepatutnya dan yang paling penting meletakkan dakwah sebagai fokus yang perlu ada dalam sosiolisasi kehidupan yang dimiliki.

Inilah kesan kebaikan yang boleh kita impikan. Namun, apabila tiada penerapan dan penerangan mengenainya dalam kalangan masyarakat, maka bunga-bunganya tidak akan dapat kita cium baunya.


Apabila hal ini berlaku, bagi saya ia mungkin melahirkan muslim yang belum pasti tahap sebenar mukminnya. Jika kita lihat dan lakukan pemerhatian terhadap masyarakat secara umumnya masih lagi ramai yang tidak memahami maksud fikrah Islam. 

Cuba kita lihat masih ramai muslim yang kehidupan islamiah mereka hanya tertumpu kepada pekerjaan,pergi melancong,beli kereta,mahu buat rumah balik beraya di kampung dan sebagainya.

Bukan saya ingin menafikan kebaikan semua perkara yang saya sebutkan,semuanya adalah perkara baik dan sememangnya diperlukan oleh setiap manusia.

Namun, bagaimana menjadikan kehidupan lebih bererti? Biarlah kehidupan muslim yang kita bina berfikrahkan perjuangan islam. Setiap kelakuan dan tindakan kita diniat dan di misikan untuk menaikkan martabat agama.

Kehidupan seperti biasa,punyai rumah,kerjaya,beranak pinak dan sebagainya,akan tetapi pada masa yang sama, meletakkan metod dakwah sebagai salah satu misi keluarga.

Berkata-kata memang mudah daripada melaksana. Mengimpikan sesuatu atau mengimpikan sebuah keluarga fikrah perjuangan islam akan hanya menjadi impian yang mustahil sekiranya masyarakat tidak difahamkan dengan baik tentang perkara ini. 

Akan tetapi yakinlah manusia yang percaya sebelum melihat sesuatu dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya itu adalah manusia hebat dan luar biasa berbanding manusia yang percaya dengan apa yang telah dilihatnya.Cuba fahaminya.